Aurat muslimah di hadapan wanita non muslim sama seperti aurat di hadapan lelaki ajnabi.
Pendapat lain ialah yang mengatakan muslimah boleh berpakaian seperti pakaian biasa yang dipakai di dalam rumah. Pakaian yang biasa dipakai di dalam rumah ialah baju berlengan pendek, skirt labuh, seluar panjang (bukan ketat), gaun labuh berlengan pendek dan seumpamanya.
Pandangan ketiga ialah yang mengatakan sama seperti aurat sesama wanita muslimah yakni selain antara pusat hingga lutut.
Bagaimana cara kita memilih antara 3 pendapat di atas? Untuk membuat keputusan terbaik buat diri kita ialah dengan melihat objektif menutup aurat itu sendiri yakni menjaga maruah dan kesopanan wanita Islam.
Oleh itu perlu dilihat kepada akhlak wanita non muslim itu sendiri. Jika dia seorang yang menjaga kesopanan dan menghormati kita, maka pendapat kedua adalah baik diamalkan agar terangkat perkara yang menyusahkan dari diri kita.
Jika wanita non muslim itu seorang yang tidak baik dan sentiasa mencari kelemahan muslimah untuk disebarkan kepada orang lain, maka wajiblah menutup aurat seperti biasa.
Apabila menyebut tentang akhlak, isu ini turut terbuka kepada sesama muslimah dan kanak-kanak sekali pun. Jika wanita Islam atau kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan yang tidak baik, maka tetap wajib menutup aurat seperti biasa di hadapan mereka. Dibimbangi mereka bercerita tentang aurat kita di hadapan lelaki ajnabi.
Lebih-lebih lagi di zaman ‘handphone’ berkamera ini, foto mudah dicuri dan disebarkan kepada orang lain. Justeru berhati-hati adalah lebih baik. Namun usah terlalu risau kerana negara kita mempunyai undang-undang yang menjaga kepentingan (maruah) individu. Ikhlaskan niat berhijab semata-mata kerana Allah, insya Allah, Allah akan sentiasa menjaga kita.
Khusus untuk menjawab persoalan ini, saya bertanya pandangan seorang muslimah yang revert dari agama Kristian mengenai persepsinya terhadap aurat wanita muslimah sebelum memeluk Islam. Ini petikan jawapan yang diberikan dalam Facebook,
“Melihat kepada orang sekeliling ingatkan aurat wanita Islam hanyalah rambut..sebab itu kalau nampak orang pakai tudung tapi pakai seksi dan badan terdedah terlintas dalam fikiran “teruknya Islam ni, sangat pentingkan tutup rambut tapi bahagian lain tidak. lebih baik tidak pakai tudung tapi tidak pakai seksi dan tidak dedah badan (sebab orang bukan Islam pun ada juga pakaian “lebih baik” daripada orang Islam)”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan